SUBANG JAYA: Seorang penghuni sebuah pangsapuri di sini terkejut
apabila melihat jirannya menanam uri bayinya yang baru lahir bersama
sepasang but dan jersi bola.
Dia yang tidak menyangka kepercayaan seperti itu masih wujud di
kawasan elit seperti Subang Jaya, dengan selamba bertanya: "mikrofon tak
nak ke ?”
Bagaimanapun, bapa yang memang kaki bola itu hanya tersengih mendengar soalan si jiran.
Daripada kisah ini, apa yang jelas kepercayaan karut seperti menanam
uri bersama pen atau buku dengan harapan si anak akan menjadi seorang
yang pandai bila besar kelak, masih menebal sedangkan perbuatan itu
hanyalah satu kepercayaan.
Bapa yang menanam uri anaknya bersama but dan jersi bola, tentu mahu
si anak menjadi seperti David Beckham, sedangkan rasanya bapa Beckham
pun tak pernah buat macam tu.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pusrawi, Dr Habibah Abd
Ghani pula mendedahkan ada ibu bapa Melayu yang menanam uri bersama
pensil, paku, jarum, gunting dengan harapan anaknya akan mempunyai
kemahiran tertentu apabila dewasa nanti.
Malah ada juga yang menanam uri bersama dengan disket dan sebagainya kerana mahu anak mereka menjadi pakar dalam teknologi IT !
"Mungkin ada orang yang lakukannya. Itu semua kerana adat dan budaya
turun-temurun. Jika ibu bapa di zaman ini tidak lakukan, pasti akan
ditegur oleh orang tua.
"Dalam Islam, tiada adat seperti itu. Kita tanam uri supaya binatang
buas tidak boleh menggali dan memakannya. Takkanlah kita mahu buang uri
di tong sampah ? Takut perkara lain pula yang timbul seperti merebaknya
jangkitan penyakit jika uri itu mempunyai masalah tertentu.
"Bagi saya, secara rasionalnya orang kita menanam uri adalah kerana
adat dan oleh itu, hindarilah daripada terus memperkatakan perkara
bukan-bukan mengenai uri,”katanya.
Apapun, BACARIA telah menghubungi Timbalan Pengarah Bahagian
Perundangan Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ustaz Aluwi
Parman untuk bertanyakan hal itu.
Menurut Aluwi, dalam Islam tidak ada nas yang menyuruh menanam uri
mengikut cara itu, malah perbuatan itu adalah antara perkara yang boleh
menyebabkan khurafat.
"Uri ialah satu benda yang mengiringi bayi. Kita hanya perlu
menanamnya. Mungkin bersihkan sedikit, kemudian menanamnya. Tak payah
basuh dengan asam garam,” katanya.
Dia yang sedang berada di Tanah Suci Mekah ketika dihubungi, berkata
tidak perlu ada upacara menanam uri seperti yang masih dilakukan oleh
segelintir masyarakat Melayu.
"Apa yang lebih baik dilakukan oleh si bapa ialah mengazan atau
mengiqamat anaknya yang baru lahir seperti yang dilakukan oleh Nabi
Muhammad (SAW),” katanya lagi.
Bagaimanapun, adat atau kepercayaan ini sukar dihapuskan walaupun negara semakin maju.
"Ada yang masih berkeras mahu memasukkan uri di dalam tempurung
kelapa sebelum menanamnya. Ada yang tanam bawah tangga. Saya pun tak
tahu tujuannya.
"Selepas menanam uri, ada pula yang menyalakan pelita atau lilin
kononnya untuk mengelak bayi mengalami kembung perut. Api itu dikatakan
dapat ‘memanaskan’ bayi,” katanya.
Antara upacara karut-marut yang masih dilakukan sewaktu menanam uri ialah:
- Cuci uri itu dengan sempurna sehingga tiada bahagian yang tidak dicuci atau darah masih tertinggal.
- Kemudian rendamkan uri tersebut seketika di dalam air garam jantan (garam kasar).
- Bersihkan kembali uri tersebut dengan air biasa.
- Masukkan uri tersebut ke dalam tempurung kelapa yang hampir sempurna.
- Letakkan pen, buku atau apa-apa barang yang kita mahu anak kita
dikaitkan apabila besar. Buku atau pen untuk mendapatkan anak yang
pandai atau sekarang mungkin mikrofon kalau ibu bapa mahu anaknya nanti
jadi seperti Siti Nurhaliza !
- Bungkus tempurung tadi dengan kain putih.
- Tanam sedalam sekurang-kurangnya sekaki di tempat-tempat yang jarang dipijak.
- Tanam berdekatan anjung rumah untuk bayi lelaki atau berdekatan dapur untuk bayi perempuan (kononnya nanti pandai memasak).
- Apabila malam nyalakan unggun api/pelita/lilin atau apa-apa yang
seumpamanya di atas permukaan tanah tempat uri tadi ditanam untuk
seminggu dua supaya bayi tak kembung perut.
Upacara ini dilakukan kerana kepercayaan bahawa uri ialah kembar bayi
dan apa yang kita lakukan terhadap uri boleh mempengaruhi bayi apabila
dewasa kelak. Contohnya kalau uri dibuang ke dalam tong sampah, nanti
besar anak boleh jadi sampah masyarakat!
|